Skip to content
Home » Berita » Pemerkasaan Kemahiran Komunikasi Pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Rekabentuk Dalam Media Baharu

Pemerkasaan Kemahiran Komunikasi Pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Rekabentuk Dalam Media Baharu

Tarikh : 18 NOVEMBER 2025.

Baru-baru ini telah berlangsung sebuah bengkel khas yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Rekabentuk dalam Media Baharu, Politeknik Ibrahim Sultan.

Seramai 38 pelajar daripada kelas BDM1A, BDM1B (Semester 1) dan BDM3 (Semester 3) telah menyertai sesi ini yang direka secara interaktif dengan objektif utama meningkatkan keupayaan pelajar berkomunikasi secara lebih yakin, tersusun dan profesional.

Bengkel ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid bin Masrom, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), yang berkongsi pelbagai teknik komunikasi berkesan yang sangat relevan untuk pembangunan pelajar bidang kreatif. Antara aspek penting yang ditekankan termasuk cara membina mesej yang jelas, teknik penyampaian verbal yang meyakinkan, penggunaan bahasa tubuh (body language) yang betul, serta kaedah menstrukturkan idea supaya mudah difahami audiens.

Selain itu, para pelajar turut didedahkan kepada pendekatan komunikasi strategik seperti cara menangani situasi pertanyaan spontan, mengurus emosi ketika menyampaikan pembentangan, serta membina keyakinan diri dalam situasi profesional. Melalui aktiviti praktikal, latihan penyampaian serta demonstrasi secara langsung, pelajar berpeluang mempraktikkan teknik yang dipelajari, seterusnya memperkukuh kemahiran komunikasi interpersonal mereka.

Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya menyediakan ruang pembelajaran yang bermanfaat kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi asas yang amat diperlukan dalam dunia kreatif. Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat diteruskan bagi memastikan pelajar bukan sahaja mahir dari aspek teknikal, tetapi turut memiliki keupayaan komunikasi yang matang, berkesan dan berdaya saing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *