Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) meneroka potensi kerjasama strategik bersama SUPERX Digital Power Pte. Ltd. dan GTEX ASIA Sdn. Bhd. dalam bidang pengkomputeran berprestasi tinggi (High-Performance Computing), kecerdasan buatan (AI) dan penyelidikan teknologi.
Potensi kerjasama ini dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah PIS, YBrs. Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim, dan turut dihadiri Tuan Haji Hamzah bin Zakaria, Timbalan Pengarah Governan dan Strategik (TPGS); Encik Mohd Firdaus bin Mohd Noor, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik (TPSA); Puan Rohaida binti Razi CiDe, Ketua Unit CISEC; serta Simon Hao, Chief Project Officer SUPERX Digital Power Pte. Ltd. dan Lee Kuan Peng, Ketua Pegawai Eksekutif GTEX ASIA Sdn. Bhd.
Perbincangan merangkumi enam bidang kerjasama yang berpotensi diterokai, iaitu pengajaran dan pembelajaran, projek tahun akhir pelajar, penyelidikan dan pembangunan (R&D), projek industri, latihan industri serta penyelidikan bersama.
Penerokaan ini membuka ruang untuk mengenal pasti peluang yang bersesuaian dengan bidang kepakaran PIS dan keperluan industri, khususnya dalam perkembangan teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi dan kecerdasan buatan.
Usaha ini diharap dapat membuka peluang kepada kerjasama yang memberi manfaat kepada institusi, pelajar dan pihak industri, khususnya dalam memperluas pendedahan pelajar kepada perkembangan teknologi semasa serta keperluan industri masa hadapan.



