07 JULAI 2026
Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pejabat Pergigian Daerah Johor Bahru bagi membincangkan kolaborasi strategik dalam penganjuran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Johor 2026.
Delegasi Pejabat Pergigian Daerah Johor Bahru terdiri daripada Dr. Siti Hajar Binti Abd Ghani, Dr. Sharifah Khairiah Binti Syed Hussin, Dr. Nur Shahirah Binti Mohd Shah, Dr. Nur Liyana Binti Hamid dan Dr. Nur Hidayah Binti Ahmad Omar.
Delegasi tersebut telah disambut oleh YM Tengku Nadzion bin Tengku Ibrahim, Timbalan Pengarah Akademik (TPA) yang menjalankan tugas Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, bersama Encik Mohd Firdaus bin Mohd Noor, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik (TPSA).
Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Johor 2026 yang bertemakan “Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Pergigian”. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai kepentingan penjagaan kesihatan pergigian melalui pelbagai pengisian seperti pendidikan kesihatan, forum pakar, pameran interaktif, promosi kesihatan serta saringan pemeriksaan gigi. Majlis Perasmian Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Johor 2026 dijadualkan berlangsung pada 22 Julai 2026 di Politeknik Ibrahim Sultan.
Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara Politeknik Ibrahim Sultan dan Pejabat Pergigian Daerah Johor Bahru, di samping menyokong usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan pergigian. Program ini juga dijangka memberi manfaat kepada warga PIS, pelajar institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat.



