Tarikh : 28 JANUARI 2026.
Program Siri Wacana Bergerak MADANI: Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil merupakan satu inisiatif ilmiah yang dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF), Universiti Selangor (UNISEL), dengan kerjasama IDE Training & Consultancy (IDETC) sebagai penyelaras program.
Program ini dilaksanakan bertujuan memperluas kefahaman pelajar PIS terhadap pemikiran dan gagasan besar almarhum Siddiq Fadzil, seorang tokoh ilmuwan Islam dan pemikir bangsa yang menekankan kepentingan ilmu, adab, akhlak serta nilai kemanusiaan sebagai asas pembinaan peradaban.
Pemikiran Siddiq Fadzil kekal relevan dalam konteks semasa kerana berpaksikan nilai-nilai Islam yang bersifat universal dan kemasyarakatan. Gagasan beliau juga selari dengan falsafah Malaysia MADANI yang berteraskan prinsip keadilan, kesejahteraan dan keseimbangan antara tuntutan duniawi serta ukhrawi.
Program dimulakan dengan ucaptama perasmian yang disampaikan oleh YBhg. Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Pengerusi Eksekutif IDE. Seterusnya, para pelajar terlibat dalam sesi Diskusi Buku Fokus bertajuk Perjuangan Ummah & Tanggungjawab Intelektual Muslim serta Pemikiran Siddiq Fadzil dalam Pembinaan Negara Bangsa.
Program diakhiri dengan forum panel bertajuk Menghidupkan Pemikiran Siddiq Fadzil dalam Konteks Semasa, yang menekankan keperluan menterjemahkan gagasan intelektual Siddiq Fadzil dalam realiti masyarakat dan negara hari ini.
Turut hadir Prof. Dr Mohd Sidin Ahmad Ishak Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil dan Encik Mohd Firdaus Mohd Noor, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PIS.



