Tarikh : 15 OKTOBER 2025.
Program YS E-Sport Next Gen E-Battle: Johor Region 2025 telah dianjurkan dengan jayanya oleh Kelab Young Scholars dengan kerjasama E-Sport Politeknik Ibrahim Sultan (PIS). Program ini telah mendapat tajaan utama daripada Hotlink, manakala penaja bersama terdiri daripada Haos Ek? dan Syarikat Cahaya Gunung Trading.
Pertandingan e-sukan ini melibatkan dua permainan utama iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile: Battleground, yang kini semakin popular dalam kalangan generasi muda, yang mana menyasarkan penyertaan dari kalangan pelajar institusi pendidikan teknikal dan vokasional di negeri Johor yang melibatkan lima buah institusi iaitu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN), Politeknik Mersing Johor (PMJ), Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB) dan ADTEC JTM cawangan Pasir Gudang serta Senai.
Peringkat saringan telah dijalankan secara dalam talian pada 8 Oktober 2025 untuk kategori MLBB yang melibatkan seramai 154 orang peserta, dan pada 9 Oktober 2025 untuk kategori PUBG Mobile dengan 105 orang peserta, menjadikan jumlah keseluruhan peserta peringkat saringan seramai 258 orang.
Peringkat akhir telah berlangsung secara bersemuka pada 15 Oktober 2025, bertempat di Perpustakaan Ilmu Sejagat, Politeknik Ibrahim Sultan. Seramai 128 peserta dari empat buah politeknik telah terlibat dalam perlawanan akhir ini. Bagi kategori MLBB, Politeknik Ibrahim Sultan menghantar 5 pasukan, diikuti PMJ dan PMJB masing-masing dengan 4 pasukan, manakala PTSN menghantar 3 pasukan. Dalam kategori PUBG Mobile pula, PIS menghantar 7 pasukan, PMJB dengan 3 pasukan dan PTSN dengan 2 pasukan.
Bagi kategori PUBG Mobile, tempat pertama telah dimenangi oleh Team Lando dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), diikuti tempat kedua oleh Prime Duku juga mewakili PIS, manakala tempat ketiga diraih oleh 4Bloods dari Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN). Sementara itu, dalam kategori MLBB, juara pertandingan disandang oleh PIS X Kingz dari Politeknik Ibrahim Sultan, tempat kedua milik Azure Originz dari Politeknik Mersing Johor (PMJ), dan tempat ketiga diraih oleh Kara X PMJ, juga dari Politeknik Mersing Johor.
Majlis penutup telah disempurnakan dengan ucapan aluan oleh YM Tengku Nadzion Tengku Ibrahim, Timbalan Pengarah Akademik (TPA) PIS, diikuti dengan ucapan perasmian penutup serta penyampaian hadiah oleh Encik Erman bin Yahya, selaku Ketua Pasukan Jualan Langsung, Hotlink. Kehadiran beliau selaku wakil penaja utama amat dihargai dan memberi suntikan semangat kepada para peserta.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, dan membina jaringan antara pelajar institusi pendidikan di Johor melalui platform e-sukan. Ia juga selaras dengan aspirasi pendidikan TVET untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing, kreatif, dan versatil dalam dunia digital masa kini.





