Skip to content
Home » Berita » Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Politeknik Ibrahim Sultan Dan Peluncuran Kempen Cabutan Bertuah Tabung Wakaf Rakyat Johor

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Politeknik Ibrahim Sultan Dan Peluncuran Kempen Cabutan Bertuah Tabung Wakaf Rakyat Johor

Tarikh : 25 SEPTEMBER 2025.

Budaya wakaf terus diperkasa menerusi Majlis Peluncuran Kempen Cabutan Bertuah Tabung Wakaf Rakyat Johor yang berlangsung meriah sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Politeknik Ibrahim Sultan (PIS). Program ini merupakan anjuran bersama Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan PIS.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd. Fared Haji Mohd. Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. Tabung ini memberi peluang kepada rakyat Johor untuk berwakaf serendah RM30, dan memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah termasuk hadiah utama seperti jam pintar Garmin, komputer riba HP dan motosikal Yamaha.

Antara pemenang bertuah ialah Mohammad Hamdan Abdul Ghani, yang memenangi hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha. Beliau meluahkan rasa syukur dan teruja atas rezeki yang tidak disangka. “Saya bergurau sahaja dengan rakan sekerja, kalau dapat motor boleh la guna ke masjid… tak sangka jadi kenyataan. Ini semua rezeki dari Allah SWT,” katanya.

Dua lagi warga PIS turut membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa komputer riba dan jam pintar, sekali gus menyemarakkan lagi semangat penyertaan dalam kempen wakaf tersebut.

Majlis turut dimeriahkan dengan perarakan sempena Maulidur Rasul yang melibatkan penyertaan daripada warga PIJ dan PIS. Dalam majlis yang sama, turut disampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1447H/2025M kepada dua individu cemerlang, iaitu Basri Senin (kategori staf) dan Muhammad Ashraf Amirudin (kategori pelajar), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kerohanian serta keagamaan di PIS dan komuniti setempat.

Sumbangan korporat juga memainkan peranan penting dalam menjayakan majlis ini. SIRIM QAS International tampil menyumbang sebanyak RM30,000 bagi menjayakan pemberian kupon Baucar Makanan, yang memberi manfaat kepada seramai 200 orang pelajar PIS. Selain itu, Perbadanan Islam Johor turut menyumbangkan hadiah cabutan bertuah serta menjayakan jamuan makan melalui penyediaan tiga ekor lembu dan bahan masakan.

Turut hadir di majlis ini ialah Hajah Shubanah Yusuf, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor; Abdul Malik Ismail, Pengarah Urusan PIJ Holdings; Haji Ulaimi Yahya, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan; serta Mohamed Zaki Atip, Pengarah Wilayah Bank Islam Johor.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuhkan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat, malah turut menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *