Mesyuarat Bersama Alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menjadi platform untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara alumni, industri dan institusi TVET dalam memperluas peluang pembangunan kerjaya, perkongsian kepakaran serta peningkatan kompetensi profesional.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim, Pengarah PIS, turut dihadiri Tuan Haji Azirin bin Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar dan Tuan Haji Aswan bin Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif AITO Firework Holdings Sdn. Bhd.
Perkongsian oleh Tuan Haji Aswan membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama yang boleh diterokai, termasuk peluang pembangunan kemahiran, latihan profesional dan perkongsian kepakaran bagi memenuhi keperluan industri. Pengalaman AITO dalam bidang sistem perlindungan kebakaran, peralatan keselamatan dan latihan berkaitan keselamatan kebakaran turut membuka peluang untuk meneroka kolaborasi yang boleh dimanfaatkan oleh alumni PIS, alumni Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) serta warga POLYCC.
Perbincangan ini turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara alumni dengan institusi dan pihak industri, bukan sahaja bagi memperluas peluang kerjaya serta pembangunan profesional, malah untuk mengenal pasti ruang kerjasama yang dapat memberikan manfaat bersama kepada komuniti TVET.
Usaha memperkasa jaringan alumni dan industri ini diharap dapat diteruskan sebagai pemangkin kepada ekosistem kerjasama yang lebih kukuh, sekali gus menyokong pembangunan bakat TVET yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri semasa.



