Seramai 16 orang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerima pengiktirafan dalam Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Negeri Johor 2026, melibatkan tiga (3) penerima Anugerah Tahap Perak dan 13 penerima Anugerah Tahap Gangsa.
Turut menerima pengiktirafan ialah Pn. Salwa binti Khusairi, Pensyarah JRKV, yang ditauliahkan sebagai Pemimpin Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan warga PIS dalam menjayakan program pembangunan belia yang memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, kepimpinan, khidmat masyarakat dan pengembangan potensi generasi muda.
Majlis yang berlangsung di Dewan Banquet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri itu telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Azura binti Haji Sarbin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Hadir mewakili Pengarah PIS ialah Encik Mohd Firdaus bin Mohd Noor, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik. Turut hadir ialah pegawai dan mentor dari Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) serta 16 orang penerima daripada kalangan pelajar PIS.
Tahniah kepada semua penerima anugerah dan syabas kepada Pn. Salwa atas pentauliahan yang diterima. Semoga pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk terus melakar kejayaan serta menyumbang kepada pembangunan diri, institusi dan masyarakat.



